Tips Mengesan Jaundis Pada Bayi Baru Lahir Untuk Panduan Ibu Bapa

Assalamualaikum...

Tahniah kepada ibu-ibu yang telah selamat melahirkan bayi anda. Pastinya ibu-ibu dan pasangan sangat teruja dengan kelahiran yang dinanti-nantikan. Dalam keterujaan menyambut kelahiran bayi anda, Zura nak kongsikan sedikit info mengenai jaundis bagi bayi yang baru lahir. Bagaimana cara nak mengesan jaundis pada bayi yang baru lahir? Jom teruskan pembacaan anda :)




Cara mengesan Jaundis

Jaundis dapat dikesan apabila kulit bayi didapati berwarna kuning. Biasanya keadaan ini berlaku setelah beberapa hari bayi dilahirkan. Bagi bayi yang berkulit sedikit gelap, biasanya tanda kuning dapat dilihat pada mata putih bayi ataupun pada tapak tangan dan tapak kaki mereka.

Selain itu, jika anda menekan secara lembut menggunakan jari pada kulit bayi, (biasanya pada muka, dada, perut dan kaki), setelah jari diangkat, bahagian yang ditekan akan kelihatan kekuningan. Zura sendiri menggunakan kaedah ini semasa mengesan jaundis pada Damia dahulu.

Bagaimana jaundis terjadi?

Semasa penguraian sel darah merah bayi berlaku, bilirubin akan dihasilkan. Bayi yang baru lahir pula cenderung mempunyai bilirubin yang lebih tinggi. Bilirubin biasanya akan dibuang melalui najis atau air kencing. Apabila proses penguraian berlaku serentak pada satu masa, maka pada ketika ini tahap bilirubin akan meningkat.

Peningkatan bilirubin inilah yang kita dapati melalui kekuningan pada tubuh bayi. Jaundis biasanya mula kelihatan dari kepala, muka, dada serta diikuti bahagian perut hingga ke kaki.


Tahap bilirubin

Tahap bilirubin yang melebihi 5 mg/dL menunjukkan tanda jaundis. Mengikut pengalaman Zura dulu, Damia dikesan mengalami jaundis setelah masuk hari keenam dilahirkan iaitu pada 29/3. Masa tu, bahagian muka memang nampak seperti kuning dan bila ditekan bahagian lengan, kesan kuning memang ketara kelihatan. Bila dibawa ke klinik, bacaan didapati 13.8 mg/dL. Memang dah risau masa tu, namun doktor menyarankan untuk membuat pemeriksaan selanjutnya pada 31/3.

Balik dari klinik, memang Zura kerapkan lagi menyusukan Damia, namun apa yang Zura perasan, dia kerap tidur walaupun dikejutkan bila tiba masa untuk menyusukan. Keesokkan harinya pula (30/3), keadaan masih tak berubah. Mak pun bagitahu nak bawa je Damia menjalani pemeriksaan tak payah nak tunggu keesokkan harinya. Kali ni bacaan naik ke 15.3 mg/dL dan doktor terus menyarankan kami untuk ke hospital untuk menjalani fototerapi.


Cara rawatan jaundis.

1. Fototerapi.

- Rawatan fototerapi memerlukan bayi baring tanpa pakaian (hanya guna lampin) dan matanya ditutup di atas katil dan lampu bercahaya biru diletakkan pada katilnya. Cahaya ini berfungsi memecah bilirubin berlebihan untuk disingkirkan oleh ginjal.

Kali pertama meletakkan Damia di dalam katil untuk menjalani fototerapi memang sedih. Rasa macam murah je air mata masa tu.hehe Belum lagi bila melihat kakinya dicucuk untuk diambil darah. Rasa macam.. biar Zura je yang menggantikan tempat Damia waktu tu.

Bila dah masuk di dalam katil tu, tak semestinya kena biarkan je bayi di dalam tu.. Bila time menyusu, bolehla kita ambil mereka untuk disusukan. Bila mereka kerap menyusu, makin kerapla mereka membuang najis dan ia adalah baik supaya bilirubin dapat diuraikan. Apa yang Zura perasan, najis Damia semenjak menjalani fototerapi berwarna kuning dan seakan cirit pun ada juga.

Sebab itulah penting untuk kita memberi susu secara kerap kepada bayi kerana berada di bawah lampu tu agak panas juga rasanya. Ini adalah untuk mengelakkan bayi kita daripada mengalami kekeringan/kurang air. ( hanya beri susu ibu ye..)

Setelah 3 hari check in kat hospital, Alhamdulillah kami telah dibenarkan untuk discharge setelah bacaan bilirubin Damia turun mencecah 12.3 mg/dL. Tetapi, Damia masih kena menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan untuk memantau bacaan bilirubinnya.

2. Pemindahan darah 

-  Dilakukan apabila rawatan fototerapi gagal menyekat kenaikan bilirubin hingga mencecah 25 mg/dL. Ini adalah pilihan terakhir bagi mengelakkan terjadinya kerosakkan otak, radang hati, saluran darah tersumbat atau hepatitis.


Tips Menurunkan Tahap Bilirubin.

Ini adalah berdasarkan pengalaman Zura sendiri.

1. Kerapkan menyusukan bayi dengan susu ibu.

2. Elakkan makan jamu. Inilah perkara yang dipesan doktor semasa pertama kali Damia dikesan mengalami jaundis.

3. Ikut saranan doktor mengenai kaedah rawatan yang perlu dijalani bayi anda samada fototerapi ataupun pemindahan darah.


Terdapat juga kaedah tradisional seperti memberi bayi minum susu kambing, menjemur bayi di bawah matahari, memandikan bayi menggunakan herba dan banyak lagi petua-petua untuk menurunkan jaundis bayi.

Namun, Zura tak menggalakkan bayi diberi SELAIN daripada susu ibu. Petua tradisional tersebut mungkin berguna dan mungkin juga boleh mendatangkan kemudaratan. Nasihat Zura kepada ibu-ibu, janganlah berputus asa untuk menyusukan bayi anda. Zura tahu anda boleh melakukannya :)

Sehingga berjumpa lagi di lain entri. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat buat semua ibu kat luar sana. 







Salam Hormat


Your Shaklee Independent Distributor

Azura Zainalabidin

♥ SMS | Call| Whatsapp  : 016-800 4628

♥ Shaklee ID : 1091952

FB PAGE 

♥ Email : juaazura81@gmail.com

Azura Zainal Azura bt. Zainalabidin

Ibu kepada 3 orang anak. Suka berkongsi tentang kesedaran mengenai kesihatan, kecantikan, penjagaan ibu hamil dan berpantang selepas bersalin.

Anda juga mungkin meminati

1 comment:

  1. perkongsian yang menarik..panduan untuk ibu2 yang bakal melahirkan...

    ReplyDelete